Dari sulbi kiri nabi Adam,
Yang terbina atas puncak kasih suci,
Seorang lelaki bernama suami,
Menggarap impian murni cinta sang isteri,
Lalu zuriat pun berkembang bukti kesetiaan,
Engkau yang bernama anak…
Untung bertuah engkau wahai anak,
Dewasamu bersama kasih sayang tak terhitung,
Payah sukar sakit peritmu,
Ayah ibu sentiasa bersama,
Lupakah kamu tentang semua nikmat itu..?
Bahagia engkau tidak seperti mereka,
Anak-anak buangan di tepi jalan,
Usah ditanya tentang dakap mesra ayah ibu,
Jangan diuja tentang apa itu kasih sayang,
Tak perlu kau tahu apa erti belai kasih,
Kerna lahir mereka,
Tentu bukan meniti sabil Illahi…
Terdetik hati bergetar meruntun rasa,
Hiba pada pandangan mata yang menatap,
Tercampak mereka di rimbunan sampah-sampah kurap,
Terkadang digonggong anjing tanpa harap,
Sesekali terkujur kaku menyesak hidung menghidu,
Alpakah kamu pada nikmat yang dirasa?
Kerna nasibmu bermakna tidak seperti mereka,
Lalu bersyukurlah,
Moga kenikmatan semakin bertambah…
Tanya pula pada mereka,
Yang sedetik cuma mampu berasa,
Apa erti nilai kasih sayang,
Dari insan bergelar ayah ibu…
Takdir berlaku memang tidak diduga diminta,
Bergelar kini mereka anak-anak yatim,
Pada mereka tentu tiada lagi,
Dakap ayah ibu bagai waktu dulu-dulu,
Sebutan ayah, ibu, papa, mama,
Tidak membawa erti apa-apa,
Kerna pada mereka,
Semakin terkenang teringat peristiwa suram,
Air mata pilu pasti akan menitis,
Sedang ayah ibu di sana,
Menanti kiriman doa seorang anak…
Maka berjanjilah pada diri,
Selagi hayat dikandung badan,
Dengan nikmat kurnia Illahi,
Punya kasih dari ayah dari ibu,
Belai mesra dakap manja yang kau rasa,
Akan kau kenang akan kau ingat,
Harapan mereka tidak terbiar tidak tercalar,
Kerana mereka sebenarnya,
Menaruh impian meletak harapan,
Seorang anak penyejuk mata,
Gembira di dunia bahagia di sana…!