Menanti sebuah malam.
Menanti atau mencari dan memburunya?
Lailatul Qadar adalah malam yang pasti datang. Jika menantinya itu
hanya dengan sekadar berjaga malam, maka orang-orang yang bersekang
mata tanpa berbuat apa-apa itulah yang beruntung dilintas kehadiran
malam itu. Sesungguhnya ia bukan malam penantian, tetapi malam
pemburuan dan pencarian.
Entahlah di malam 21, atau malam 23, atau malam-malam ganjil yang
lain… Lailatul Qadar dianugerahkan. 9 Ramadhan yang ditempuh Rasulullah
SAW di sepanjang hayat Baginda selepas pensyariatan ibadah puasa,
menyebabkan riwayat-riwayat tentang Lailatul Qadar hanya tersimpul
sebagai suatu anugerah yang diberi pada 10 malam terakhir Ramadhan itu.
“Mengapa tidak ditetapkan sahaja satu malam yang khusus bahawa itulah malam Lailatul Qadar?” ada yang bertanya.
“Anta cadangkan malam yang mana?” saya pun bertanya seada-adanya.
“Malam 27 barangkali” katanya.
“Maka beruntunglah penjual minyak tanah dan pelita untuk malam tujuh likur itu ya!” saya bergurau.
“Eh, ke situ perginya ustaz” kata beliau.
KEKELIRUAN E-BACAAN (ANTI HADITH)Saya terbaca sebuah artikel yang dikarang di halaman web e-bacaan
yang menolak hadith-hadith Nabi SAW termasuk hadith berkaitan Lailatul
Qadar. Ulasan penulisnya mengatakan bahawa penantian atau pencarian
Lailatul Qadar itu adalah sia-sia kerana kesemua hadith berkaitan,
bertentangan di antara satu sama lain. Walhal hadith-hadith itu adalah
himpunan dialog dan penjelasan Nabi SAW tentang Lailatul Qadar pada
sekurang-kurangnya 9 kali ketibaan Ramadhan di sepanjang hayat
Kerasulan Baginda SAW. Setiap hadith itu diungkapkan pada tahun-tahun
yang berbeza, bukannya saling bertentangan seperti yang terfahamkan
oleh golongan anti hadith ini.
Soalnya, bagaimana kalau ketidakpastian itu suatu kesengajaan? Ia bukan kejahilan tetapi ada rahsia besar di sebalik semuanya?
MAKAN GAJI VS KERJA SENDIRILebih mudah untuk kita analogikan seorang yang makan gaji dengan
seorang yang berniaga sendiri. Orang yang makan gaji, pendapatannya
tetap setiap hujung bulan. Sama ada dirinya produktif atau tidak,
hasilnya sama. Malah pada bulan Ramadhan ini, dengan membanyakkan tidur
di pejabat dan pulang awal setiap hari, hasil pendapatan tetap sama.
Sesuatu yang tetap dan pasti, rupa-rupanya boleh menjejaskan
kesungguhan dan produktiviti, seiring dengan kurangnya rasa bersyukur
atas kurniaan.
Berbeza pula dengan yang berniaga sendiri. Penghasilannya amat
bergantung kepada kesungguhan, kerajinan dan produktiviti
masing-masing. Kuat bekerja banyak hasilnya. Sedikit berusaha,
terjejaslah pendapatannya.
Ketidakpastian adalah rahsia kesungguhan dan kerja keras yang diperlukan. Ketidakpastian + usaha keras = kemajuan, itu sifirnya.
Demikianlah hikmah sebuah ketidakpastian.
LIPATGANDA30 hari yang terlalu panjang itu mungkin berat untuk sebuah
pencarian. Justeru Islam memberitahu bahawa tingkatkan usaha mengejar
Lailatul Qadar yang tidak pasti itu pada malam-malam 10 yang terakhir.
Lantaran ia hadir pada malam-malam yang tidak ditentukan, manusia yang
ada azam untuk berjaya akan melipatgandakan usaha untuk berhasil
menemuinya. Malam Lailatul Qadar.
Kesungguhan itulah pelengkap proses Taqwa.
Kesungguhan yang diperlukan untuk sebuah kehidupan yang pasti ada
jangka masa, tetapi persoalan bila itu dibiarkan sebagai sebuah
ketidakpastian. Mati itu tentu, masanya tidak pasti. Antara ketentuan
dan ketidakpastian ajal, seorang mukmin memajukan sebuah kehidupan.
Memikirkan peluang beramal berakhir pada jangka waktu yang tidak
pasti, Nabi SAW memberi ingatan kepada kita agar mengerjakan solat
dengan “SOLAT PERPISAHAN”. Bayangkan setiap solat yang didirikan
sebagai solat terakhir kita, kerana mati itu tidak pasti. Kerana kita
mati sentiasa di antara dua solat…
Ketidakpastian yang mendesak kesungguhan juga perubahan.
<blockquote>
“Jibril datang kepadaku dan
berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun
setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati
ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun
mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)</blockquote>